Menurut sains, tubuh kita akan mengalami perubahan dari fasa tidur ke fasa terjaga. Perubahan ini boleh mendatangkan ketidakselesaan dan kejutan kepada tubuh.
Perbuatan menggeliat selepas bangun tidur sebenarnya adalah tindakan spontan yang berlaku bagi mempersiapkan tubuh untuk mula berkerja.
Di sebalik itu, terdapat beberapa kebaikan lain yang juga boleh diperolehi melalui perbuatan menggeliat selepas bangun tidur, antaranya:
1. Melegakan ketegangan sendi dan otot
Menurut kajian, apabila tubuh manusia sudah tidak bergerak dalam tempoh yang lama kerana sedang tidur, sendi dan otot akan kehilangan cecair sinova lalu menyebabkan tubuh menjadi lesu dan tidak bermaya. Oleh itu, setiap kali selepas bangun tidur lakukan perbuatan ini untuk melegakan ketegangan sendi dan otot.
2. Mengaktifkan cecair sinova
Ekoran itu, perbuatan menggeliat sebenarnya sangat membantu untuk mengaktifkan kembali cecair sinova dalam tubuh agar ia kembali memenuhi ruang antara sendi dan otot. Ini bertujuan untuk melancarkan semula pergerakan sekaligus mengurangkan geseran yang boleh berlaku pada bahagian-bahagian ligamen tersebut jika kekurangan cecair ini.
3. Menghilangkan stres
Selain itu, perbuatan menggeliat sebenarnya mampu untuk meredakan emosi anda. Ketika pagi, emosi kita sering berada dalam tahap yang tidak stabil. Oleh itu, menggeliat merupakan perbuatan yang paling penting untuk dilakukan selepas bangun dari tidur.
Dalam pada itu, anda juga boleh melakukan perbuatan ini ketika sedang dibelenggu masalah atau ketika sedang marah bagi melegakan ketegangan yang berlaku pada sendi dan otot.
Oleh itu, bagi memulakan hari dengan cara yang paling berkesan, lakukan perbuatan menggeliat ini sepuasnya pada pagi hari setiap kali selepas bangun tidur.
Namun, anda diingatkan untuk tidak berlebihan dalam melakukannya kerana bimbang akan mendatangkan mudarat yang lain seperti salah urat leher.
Sebaiknya, lakukan ini secara semulajadi dan jadikannya ia sebagai satu rutin pagi anda.